Selasa, 17 Desember 2013

Barisan Tempur TER-Baik..!!


KITA biasa melihat jemaah yang memenuhi saf depan ketika bersolat jemaah di masjid atau di surau, kebanyakannya terdiri daripada golongan warga emas. Kalau ada anak muda sekali pun, maka ia boleh dihitung dengan jari.

Yang muda, yang gagah bertenaga dan belia remaja santai lebih selesa bersolat di barisan saf belakang. Tahukah kita bahawa beruntungnya jika kita bersolat di saf paling hadapan kerana kita akan didoakan oleh malaikat dan mendapat ganjaran pahala besar di sisi Allah SWT.
Rasulullah SAW ada berpesan kepada kita semua: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat berselawat kepada orang yang berada di saf yang pertama.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban). Inilah bukti anjuran Islam dalam menggalakkan umat agar berebut untuk menunaikan solat di barisan pertama.


Kemudian Rasulullah SAW juga mengatakan bahawa jika manusia mengetahui fadilat bersolat di saf hadapan, nescaya mereka berebut-rebut untuk mendapatkan tempat. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Seandainya manusia mengetahui keutamaan yang ada dalam azan dan saf pertama, kemudian untuk mendapatkan itu mereka harus mengundi, nescaya mereka akan mengundi untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Jadi, seharusnyalah kita sebagai umat Islam bermotivasi untuk berada di saf depan ketika melaksanakan solat berjemaah. Sekarang marilah kita secara jujur meninjau keadaan di masjid dan surau ketika ini yang menunjukkan betapa ramai di kalangan kita sudah tidak menghiraukan akan pesanan Nabi kita agar mengambil peluang untuk berada di saf depan.

Dalam keadaan dewasa ini, kita terpaksa akui bahawa kebanyakan daripada kita sudah tidak mementingkan kelebihan berada di saf depan ketika menunaikan solat. Apa yang penting, asalkan solat berjemaah saja?

Marilah kita ghairah untuk merebut tempat di saf pertama setiap kali mendirikan solat berjemaah. Tanamkan azam yang mantap supaya kita tidak ketinggalan saf itu. Untuk menjayakan visi itu maka hendaklah kita segera ke masjid untuk solat berjemaah.
Marilah kita hayati peringatan Nabi SAW ini: “Sebaik-baik saf orang lelaki ialah yang pertamanya dan yang paling buruk ialah yang terakhir, dan saf wanita yang terbaik ialah yang terakhirnya dan yang paling buruk ialah yang paling hadapan.” (Hadis riwayaat Abu Daud, At-Tirmidzi).

Ini ada satu kisah bagaimana Nabi SAW mendidik sahabat dalam mengerjakan solat berjemaah. Daripada Sa’ed Al-Khudry R.A. bahawa Rasulullah SAW mendapati ada di kalangan sahabatnya melambat-lambatkan diri mereka untuk menyertai saf pertama, lantas Baginda SAW mengingatkan mereka:

“Ke hadapanlah kamu dan sempurnakanlah (saf) bersama denganku, akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan ke belakang (meninggalkan saf yang pertama) sehingga Allah akhirnya memasukkannya ke dalam neraka.” (hadis riwayat Muslim). Perhatikan baik-baik akan sabda Nabi SAW itu. “….akan datang selepas kamu satu kaum yang berterusan meninggalkan saf yang pertama…”. Mungkin kitalah kaum yang dikatakan Nabi SAW itu? Fikir dan renungkanlah.

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW ada mengatakan: “Hadirilah solat Jumaat, dan hampirilah imam kerana sesungguhnya seorang lelaki itu akan berterusan menjauhkan sehingga ia akan dilambatkan daripada memasuki syurga walaupun ia memasukinya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad).

Sewajarnya pesanan Nabi SAW itu menjadi pedoman buat kita supaya tidak membiarkan diri memilih saf belakang untuk bersolat jemaah di masjid. Jangan biarkan diri kita berasa selesa dan seronok bersolat di saf belakang, sebaliknya mulalah memilih dan segera mara ke saf paling depan dan hampir dengan imam.

Oleh itu, dapatlah dikatakan bahawa solat berjemaah yang berkualiti ialah solat seseorang yang di saf paling hadapan. Inilah golongan yang didoakan malaikat dan mendapat jaminan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah. 
sumber : http://www.bharian.com.my/articles/Doamalaikat_pahalabesarbuatjemaahbersolatdisafdepan/Article/

Solat di Saf Pertama Memberi Pahala yang Lebih Banyak 

 Daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi Muhammad s.a.w bahawa baginda telah bersabda yang bermaksud :

“Sekiranya manusia mengetahui akan kelebihan pada azan dan saf pertama sudah pasti mereka akan berlumba-lumba kemudian sekiranya tidak mendapatinya kalau mereka dipinta untuk mengundi sudah pasti mereka akan mengundi...” (Sahihul Jami’)

Iaitu berdiri bersolat di saf yang pertama mempunyai ganjaran yang tersembunyi, faedah dan hikmah.Ganjaran dan faedah dimana sekiranya mereka mengetahui sudah pasti mereka tidak akan meninggalkan saf pertama itu untuk orang lain tanpa bertelagah dan berebut-rebut memperolehinya.

Justeru untuk memperolehinya mereka sanggup membuang undi sesama mereka pada setiap kali waktu solat untuk memilih di kalangan mereka siapa yang layak untuk menyertai solat di saf yang pertama.Di dalam hadis yang mulia, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat atas orang-orang yang berada di saf pertama (didalam solat berjemaah).” (Sahihul Jami’)

Selawat Allah s.w.t adalah keampunan (maghrifah). Manakala selawat para malaikat adalah permohonan keampunan untuk manusia dari Allah s.w.t.

Oleh yang demikian, barangsiapa kebimbangan dan pencariannya adalah rahmat Tuhannya dan keredhaan-Nya maka hendaklah beliau bersungguh-sungguh untuk bersolat berjemaah disaf yang pertama supaya berjaya memperolehi keredhaan dan rahmat Allah, selawat s.w.t dan para malaikat-Nya, ketenangan turun padanya dan meliputinya lalu menjadikan beliau tenang dan takut kepada Allah s.w.t. 

 

sumber :http://puterashakir.blogspot.com/2010/07/solat-di-saf-pertama-memberi-pahala.html?showComment=1387293922675#c4549749302774879189

Tidak ada komentar:

Posting Komentar