Kisah Isa a.s
DULU ada seorang lelaki datang kepada Nabi Isa as dan ingin bersahabat dengannya. Nabi Isa menerima permintaan lelaki itu.
Satu hari mereka berjalan di tepi sungai dan makan tiga potong roti.
Nabi Isa sepotong, sepotong untuk orang itu manakala sepotong lagi
disimpan.Nabi Isa kemudian pergi ke sungai untuk minum dan apabila
kembali semula roti yang sepotong itu tidak ada. Lalu Nabi Isa bertanya
sahabatnya: “Siapa mengambil sepotong roti itu?” Jawab lelaki itu: “Aku
tidak tahu.”
Maka berjalanlah kedua-duanya. Tiba-tiba mereka melihat rusa dengan dua
anaknya, maka ditangkap satu daripada anak rusa itu lalu disembelih dan
dibakar. Kemudian dimakan berdua. Lalu Nabi Isa menyuruh anak rusa yang
dimakan itu supaya hidup kembali, maka hiduplah ia dengan izin Allah.
Kemudian Nabi Isa bertanya: “Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu
bukti kekuasaan-Nya itu, siapakah yang mengambil sepotong roti itu?”
Jawab lelaki itu: “Aku tidak tahu.”
Kemudian, kedua-duanya meneruskan perjalanan hingga sampai ke tepi
sungai, lalu Nabi Isa memegang tangan sahabatnya dan mengajaknya
berjalan hingga sampai ke seberang, lalu ditanya sahabat itu sekali
lagi: “Demi Allah, yang memperlihatkan kepadamu bukti ini, siapakah yang
mengambil sepotong roti itu?” Lelaki itu menjawab: “Aku tidak tahu.”
Kemudian berjalanlah mereka ketika di hutan. Mereka duduk-duduk dan
Nabi Isa mengambil tanah serta kerikil lalu diperintahkan: “Jadilah emas
dengan izin Allah.” Maka dengan tiba-tiba tanah dan kerikil itu berubah
menjadi emas, lalu dibahagi tiga bahagian.
Nabi Isa berkata: “Untukku sepertiga, dan kamu sepertiga, sedang
sepertiga ini untuk orang yang mengambil roti.” Serentak sahabat itu
menjawab: “Akulah yang mengambil roti itu.”
Nabi Isa berkata: “Maka ambillah semua bahagian ini untukmu.” Lalu
kedua-duanya berpisah. Kemudian orang itu didatangi dua orang yang mahu
merompak harta itu dan membunuhnya.
Begitupun, lelaki itu membuat tawaran berkongsi emas dimilikinya.
Perompak terbabit setuju, lalu menyuruh seorang pergi ke pasar
berbelanja makanan.
Maka timbul perasaan orang yang berbelanja itu, dan berkata dalam hatinya:
“Untuk apa kita membahagi wang dan harta ini. Lebih baik makanan ini
saya bubuh racun saja, biar kedua-duanya mati, dan saya ambil semua
harta itu.”
Lalu dibubuhnya racun dalam makanan itu. Sementara orang yang tinggal
itu berkata: “Untuk apa kita membahagikan harta ini, lebih baik jika dia
datang, kita bunuh saja, lalu harta itu kita bagi dua.”
Ketika datang orang yang berbelanja itu, dia segera dibunuh oleh
kedua-duanya, lalu hartanya dibahagi dua. Kemudian mereka makan makanan
yang dibubuh racun itu, matilah kedua-duanya, dan tinggallah harta itu
di hutan.
Kemudian ketika Nabi Isa berjalan di hutan dan melihat hal itu, berkata
Nabi Isa kepada sahabatnya: “Inilah contohnya dunia, maka
berhati-hatilah kamu.”
sumber : http://perkahwinan.com.my/forum/discussion/11754/inilah-contohnya-dunia-maka-berhati-hatilah-kamuquot/p1
Tidak ada komentar:
Posting Komentar