Assalamualaikum W.B.T.
Pada zaman dahulu ada seorang pemuda yang amat soleh dan warak. Dia juga
terkenal sebagai seorang yang sangat jujur dalam percakapan mahupun
perbuatannya. Dia tinggal di sebuah kota kecil di negeri Parsi. Abu
Salih adalah seorang pemuda Islam yang kuat beribadat, ilmu
pengetahuannya amat luas dia tidak tertarik langsung kepada kesenangan
dunia. Setiap hari dia suka duduk di tepi sungai sambil memikirkan
kebesaran Allah S.W.T.
Pada suatu hari ketika Abu Salih sedang duduk di tepi sebuah sungai,
tiba-tiba dia ternampak sebiji buah epal sedang dihanyutkan air. Ketika
itu Abu Salih belum lagi makan apa-apa sebagai alas perutnya. Sebaik
sahaja dia ternampak epal itu perutnya terasa lapar, lantas dia pun
mengambil buah epal itu dan memakannya. Tiba-tiba dia tersedar akan
kesalahannya. Buah epal itu adalah dari pokok kepunyaan orang.
Oleh kerana Abu Salih seorang yang sangat
beragama, dia berasa tidak senang hati kerana telah memakan buah yang
bukan haknya. Dengan tidak membuang masa dia terus mencari tuan punya
buah epal yang dimakannya itu. Dia benar-benar ingin meminta maaf di
atas keterlanjurannya. Dia ingin memohon di halalkan buah epal yang
dimakannya itu.
Setelah sekian lama dia mudik mengikut sungai itu, akhirnya dia
ternampak dahan pokok epal tersebut berjuntai ke dalam sungai. Setelah
dilihatnya pokok epal itu, maka dia yakin bahawa epal yang dimakannya
adalah dari salah satu pokok epal yang terjuntai itu. Kerana rasa takut
di atas kemurkaan Allah serta tuan punya pokok epal, lantas dia terus
berjalan mencari tuan punya pokok epal itu. Tidak lama kemudian Abu
Salih pun tiba di sebuah rumah yang sederhana besarnya. Abu Salih
mengesyaki rumah itu adalah kepunyaan tuan punya pokok epal tersebut.
Rumah itu sebenarnya kepunyaan seorang wali Allah yang terkenal bernama
Abdullah Sawmai.
Setelah memberi salam dan masuk ke rumah orang itu, Abu Salih meminta
maaf di atas kesalahan yang telah dilakukannya. Abdullah Sawmai bersedia
memaafkannya tetapi dengan syarat Abu Salih mesti tinggal bersamanya
selama 12 tahun. Wali itu sengaja menguji sejauh manakah ketakwaannya.
Di dalam hati wali itu berkata, “Baik sungguh orang muda ini, hinggakan
termakan buah epal pun dia berasa perlu meminta maaf kepadaku.”
Abu Salih yang lurus itu bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh
Abdullah Sawmai. Sejak dari hari itu tinggallah dia dia bersama wali
tersebut. Semasa dia berada di situ, dia telah membantu membuat pelbagai
kerja rumah dan taat pada setiap kerja yang diberikan kepadanya.
Setelah genap 12 tahun dia tinggal di situ, dia pergi berjumpa semula
dengan wali itu untuk meminta maaf sekali lagi kerana hendak pulang ke
kampung halamannya.
Sebaik sahaja selepas dia meminta maaf, Abdullah Sawmai pun berkata
kepadanya, “Aku bersedia memaafkan engkau dengan syarat engkau mesti
kahwin dengan anakku yang buta, pekak dan juga cacat”. “Kenapa bergitu
berat sekali hukuman yang diberikan kepadaku, sedangkan aku hanya
memakan sebiji epal”, bisik hati Abu Salih. Dia terfikir juga itu
mungkin satu cubaan terhadap dirinya oleh Allah S.W.T. Mungkin ada
hikmah disebalik denda tersebut. Akhirnya dengan rela hati Abu Salih
menerima syarat Abdullah Sawmai itu.
Setelah mereka dinikahkan, Abu Salih amat terkejut apabila didapatinya
isterinya tidak buta, tidak pekak dan tidak cacat seperti yang dikatakan
oleh bapa mertuanya. Sebaliknya isterinya adalah seorang gadis yang
amat cantik yang tidak pernah di temuinya sebelum ini sepanjang
hidupnya. Di dalam hatinya dia berkata, “Mungkin ini adalah balasan
Allah terhadapku kerana menahan sabar. Tetapi kenapa pula ayah mertuaku
tidak berkata yang sebenarnya kepadaku dahulu”.
Pada suatu hari ketika ayah mertuanya sedang duduk di pintu, Abu Salih
pun datang menghampirinya seraya bertanya, “Wahai ayahku, kenapakah ayah
berkata bahawa anak ayah itu buta, pekak dan cacat?” Maka Abdullah
Sawmai pun menjawab, “Aku katakan Fatimah isterimu itu buta sebab dia
belum pernah melihat orang lain selain dari ayahnya. Aku katakan dia
pekak kerana dia dia belum pernah mendengar sebarang kata nista dan aku
katakan dia cacat kerana dia tidak pernah membuat dosa”.
Semenjak dari hari itu Abu Salih hidup berbahagia bersama isterinya yang bernama Ummu Khair Fatimah
sumber : http://hasanzuleffendi.blogspot.com/2012/05/kerana-sebiji-epal.html
Tidak ada komentar:
Posting Komentar